Q&A: Danial Rahman (OpenLearning) membincangkan pengasingan kelas

(For the English version, click here.)

Apakah penglibatan kamu dalam pendidikan?

Sebelum ini saya merupakan pegawai kepada mantan Menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Peranan saya amat unik: iaitu mengurus hal-hal media, yang termasuk tugasan penulisan dan penyelarasan media sosial.

Antara perkara menarik daripada pekerjaan tersebut adalah menjelajah sekitar Malaysia dan berjumpa dengan pemegang taruh pendidikan – daripada pelajar ke penyelidik, cikgu dan juga penjaga sekuriti – dan menemubual mereka mengenai pengalaman pendidikan mereka. Sebagai contoh: saya bertemu dengan seorang guru yang membawa kereta sejauh 80km setiap hari, termasuk perjalanan hampir 2 jam memasuki kawasan hutan untuk mendidik pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan. Terdapat juga kisah seorang pelajar universiti yang berjaya menjadi kaya daripada menjual kacang putih, seorang dekan universiti yang berasal daripada Iraq yang mencipta kursus atas talian pertama di Malaysia, dan sekumpulan penyelidik yang menggunakan dron untuk pemetaan bendang padi. Kebanyakan penulisan saya boleh dijumpai dalam rencana yang saya tulis pada pautan berikut.

Kini, saya merupakan Ketua Komunikasi dan Inisiatif Strategik (dikenali sebagai Team CSI), di sebuah syarikat teknologi Pendidikan yang berasal daripada Australia, iaitu OpenLearning.com. Kami membangunkan platform atas talian tersendiri. Visi kami adalah untuk menyampaikan pendidikan berkualiti ke seluruh dunia. Lebih 1.8 juta pelajar telah mengambil kursus menerusi platform kami yang mana boleh juga digunakan oleh pendidik sebagai alat keusahawanan. Kami bekerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di Australia dan Malaysia untuk menyampaikan kursus dalam pelbagai bidang – daripada kejuruteraan sekuriti siber hingga ke keselamatan air.

Pada pendapat kamu, apakah kelebihan dan kekurangan dasar yang memberhentikan “streaming” atau pengasingan kelas mengikut keputusan peperiksaan?

Saya percaya terdapat pelbagai kelebihan untuk memberhentikan pengasingan kelas, dan saya menyokong perubahan ini. Sebagai konteks, Finland, negara yang mempunyai salah satu sistem pendidikan terbaik dunia, telah lama berhenti mengasingkan pelajar. Baru-baru ini, Singapura, sebuah negara yang mendapat keputusan tinggi dalam pentaksiran PISA, telah mengatakan bahawa pengasingan mempunyai kesan yang negatif kepada pelajar.

Antara kelebihan memberhentikan pengasingan kelas: terdapat kebarangkalian tinggi untuk pelajar mempengaruhi perolehan pendidikan rakan-rakan mereka secara positif apabila mereka berada dalam kelas yang sama. Banyak kajian telah membuktikan perkara ini. Sesungguhnya, pelajar-pelajar mempunyai kebolehan dan kelebihan masing-masing – ada yang ke depan secara akademik, sukan, penyelesaian masalah dan kepimpinan. Ada yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai individu dan ada secara berkumpulan. Apabila pelajar tidak diasingkan, kebarangkalian lebih tinggi untuk mereka membangunkan kelebihan ini secara bersama-sama. Dan jangan kita lupa, dalam Era Revolusi Industri 4.0 ini, di mana automasi dan Kepintaran Buatan mengambil alih tugasan rutin manusia, kemahiran yang amat penting untuk dimiliki adalah kerjasama dan kolaborasi.

Apabila kita tidak mengasingkan pelajar, ia juga mengukuhkan pembelajaran secara rakan sebaya (peer learning) dan memberi pendedahan yang lebih menyeluruh, dan ini merupakan perkara yang baik dalam jangka masa panjang. Pelajar-pelajar akan belajar untuk menyokong satu sama lain dan membolehkan kelebihan dan kemahiran mereka menjadi pelengkap kepada ‘kekurangan’ pelajar lain, sekaligus membolehkan kedua-dua daripada mereka menerima manfaat. Secara tidak langsung, ini juga membantu cikgu – sebelum ini, istilah yang digunakan adalah cikgu berperanan sebagai ‘pengarah di atas pentas’. Tetapi keadaan kian berubah. Kini, guru berperanan sebagai ‘pembimbing di tepi’. Apabila kita tidak mengasingkan pelajar, cikgu boleh mengumpulkan pelajara-pelajar berlainan kelebihan, dan membimbing proses pembangunan pelajar tersebut. Perkara ini sebenarnya mengurangkan beban cikgu dalam membentuk seseorang pelajar itu dan juga menggalakkan sokongan rakan sebaya dalam proses pembentukan dan pembangunan pelajar.

Di sebalik itu, sekiranya kita mengasingkan pelajar, perbezaan di antara mereka akan diperbesarkan – Mewujudkan persepsi bahawa ada pelajar yang lebih ‘pandai’ daripada yang lain (jika kita ingat zaman persekolahan kita dahulu, pelajar di kelas atas lebih ‘bijak’ daripada pelajar di kelas hujung). Ini membawa kepada persaingan yang tidak diperlukan. Ia juga menyebabkan pelajar merasakan diri mereka serba berkurangan dan ini tidak bagus untuk harga diri mereka. Pengasingan dalam konteks ini juga memperkukuhkan obsesi kita dengan peperiksaan. Pelajar (dan juga ibu bapa) akan lebih tertekan memastikan markah tertinggi diperolehi agar dapat memasuki kelas ‘budak-budak pandai’.

Ada beberapa sekolah di Malaysia yang mengasingkan pelajar Tahun 1 – sebelum mereka memulakan sekolah secara rasmi. Ini dibuat untuk memastikan gred purata sekolah dijamin tinggi. Perkara ini menyebabkan tekanan di kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri. Amat bersyukur, mulai 2019, KPM melarang amalan ini.

Antara kekurangan sekiranya pengasingan tidak dibuat, seandainya, adalah bahawa pelajar yang lebih cenderung akademik mungkin akan terkebelakang, terutamanya jika kelas terlalu besar atau terlalu ramai pelajar dalam tahun mereka. Selain daripada itu, ada yang mengatakan pengasingan dibuat agar cikgu boleh memberi tumpuan khas / intervensi kepada pelajar atau mengasingkan pelajar ke dalam bidang vokasional dan teknikal.

Saya kurang setuju dengan kononnya kekurangan ini. Pertama, pelajar cenderung akademik boleh mendapat inspirasi daripada pelajar lain (yang mungkin mempunyai kelebihan berbeza). Kedua, disebabkan saiz kelas yang besar, ini memberi justifikasi kepada konsep peer learning yang disebut tadi. Ketiga, pendidikan vokasional dan teknikal perlu digalakkan sebagai pilihan di kalangan pelajar yang cenderung akademik (dan tidak dilihat sebagai pilihan kedua). Hakikatnya, kita memerlukan lebih ramai pelajar dalam bidang VET ini. Pada masa yang sama, ada pelajar yang mengambil masa yang lebih lama untuk menyerlahkan potensi mereka (termasuk saya) dan kita tidak seharusnya menepikan mereka.

Apakah isu-isu mengenai pengasingan kelas yang belum dipertimbangkan?

Pada suatu masa nanti, kita harus mempertimbangkan untuk tidak membuat pengasingan mengikut umur. Sir Ken Robinson, yang merupakan pakar pendidikan dan salah seorang inspirasi saya, dalam ucapan TED Talks yang terkenal, telah mengatakan bahawa konsep pengasingan kelas ini adalah mengikut susunan kilang zaman era industri yang lampau. Bagi industri, ia merupakan model yang efisyen dan praktikal, namun tidak munasabah dalam konteks pembelajaran. Dia berhujah bahawa kita seharusnya membolehkan pelajar ke depan mengikut ketersediaan dan kebolehan mereka.

Kita seharusnya memenuhi keperluan pembangunan pelajar masing-masing (walhal, secara biologikal juga, kita tidak membesar atau matang pada kadar yang sama. Oleh itu, mengapakah pendidikan tidak dikira sedemikian?) Ini akan membolehkan cikgu-cikgu mengenalpasti pelajar yang memerlukan perhatian yang lebih. Ini adalah penting kerana terdapat ramai pelajar yang, walaupun menamatkan pendidikan, masih tidak berupaya untuk membaca, menulis atau mengira. Gred yang rendah tidak menghalang mereka untuk meneruskan pengajian – walaupun realitinya mereka tidak belajar apa-apa. “Mencukupi untuk melepasi” bukanlah sesuatu yang wajar kita benarkan. Kita bertanggungjawab kepada setiap pelajar untuk melengkapi mereka dengan asas pendidikan yang mantap dan kukuh.

Pada masa yang sama, pelajar yang maju atau cemerlang seharusnya dibenarkan untuk melompat tahun dan mungkin juga tamat pendidikan asas lebih awal. (Zaman ibu bapa saya dulu, sistem pendidikan kita memang pun membolehkan perkara ini – lompat 1-2 tahun!) Ini memastikan pelajar yang cemerlang tidak bosan dan dapat terus dirangsang secara intelek lebih awal dan potensi untuk lebih maju menjadi lebih tinggi.

Adakah apa-apa pendapat lagi yang kamu ingin kongsi?

Memulakan sesuatu seperti ini tidaklah mudah. Ia akan mengambil masa kerana kita perlu mengimbangi kelebihan dan kekurangan pelajar untuk membolehkan peer learning yang berkesan. Ia juga akan memerlukan cikgu dilatih semula dan dilengkapi kemahiran baru agar mereka dapat melihat tugasan mereka secara berbeza, dan untuk menukar kerangka pemikiran ibu bapa agar lebih menerima pendekatan pendidikan yang tidak berasaskan kepada peperiksaan semata-mata.

Perubahan dasar mengambil masa. Ini adalah antara pengajaran yang saya perolehi semasa berkhidmat di KPM dan KPT. Sekiranya kita ingin menyampaikan pendidikan terbaik buat anak-anak kita, kita perlu memberi pemimpin dan penggubal dasar masa untuk merealisasikan hasrat ini.


Jika anda ditanya soalan di asas, apakah jawapan anda? Kongsi pendapat anda di bawah (nama, e-mel, dan website tidak wajib), mengikut polisi komen kami.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang pengasingan kelas (streaming), rujuk post Pengenalan kami, Bagaimanakah murid-murid patut dikelompokkan ke dalam kelas masing-masing?”. Petikan komen daripada beberapa pembaca lain terdapat dalam post Apa Kata. Untuk membaca komen tambahan, layari Facebook page kami. Minggu depan, kami akan merumuskan perbincangan streaming ini dalam post Synopsis. Terima kasih!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s