Q&A: Cikgu Abdul Muiez Ruslee membincangkan penyusunan mata pelajaran

Seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman, Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee kini berkhidmat di SMK Sungai Besar, Selangor. Beliau juga merupakan seorang penulis. Terbitan beliau yang terkini berjudul Biar CK (Cikgu Kaunseling) Membebel.

Dalam post ini, beliau mengongsikan sudut pandangannya tentang persoalan Dialog Pendidikan pada bulan ini: “Bagaimanakah mata pelajaran sepatutnya disusun di sekolah menengah?


Apakah pendapat cikgu mengenai cadangan pemansuhan aliran berdasarkan subjek?

Saya tidak setuju dengan cadangan pemansuhan aliran berdasarkan subjek. Di sekolah, pelajar-pelajar akan menduduki ujian psikometrik. Salah satu ujian yang diduduki ialah Inventori Minat Kerjaya. Berdasarkan keputusan inventori itu, pelajar akan dilorongkan berdasarkan minat dan kecenderungan kerjaya mereka.

Pada pendapat cikgu, apakah kelebihan sistem aliran berdasarkan subjek?

Saya melihat, pembahagian aliran berdasarkan subjek ini bukan sekadar untuk membantu mereka memilih kerjaya yang bersesuaian, tetapi dapat juga mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut tahap kemampuan akademik mereka.

Di Malaysia, kita sedang memperkasakan TVET [iaitu technical and vocational education and training]. Setiap pelajar sudah ada tempat mereka yang sesuai. Contohnya, pelajar yang terkehadapan akademik mereka akan masuk ke universiti penyelidikan. Pelajar yang sederhana akan masuk ke universiti berfokus atau politeknik. Pelajar berkemahiran akan masuk ke ILKA dan TVET. Kelas-kelas ini berdasarkan markah merit mereka. Mereka akan berada di tempat yang sesuai dengan mata merit yang mereka peroleh. (90% markah akademik + 10% markah kokurikulum)

Adakah cikgu mengesyorkan mana-mana cara penyusunan mata pelajaran? Mengapa?

Syarat kemasukan bidang di universiti memerlukan subjek-subjek yang khusus. Bidang sastera tidak boleh memohon bidang pengajian sains tetapi bidang pengajian sains boleh memohon kemasukan ke bidang sastera. Bayangkan, jika pelajar-pelajar ini tidak diasingkan mengikut aliran, bagaimana mereka akan memilih hala tuju pendidikan mereka.

Aliran berdasarkan subjek juga akan memaksa pelajar-pelajar untuk mematuhi standard dan kehendak universiti. Sebagai contoh, pelajar aliran sains perlu ambil mata pelajaran fizik, biologi, kimia dan matematik tambahan. Dengan empat pakej ini, peluang mereka terbuka luas dan mereka boleh memohon banyak bidang pengajian di universiti.

Jika diberi pilihan, sudah pasti ramai pelajar akan menolak matematik tambahan. Cuba bayangkan, jika kelas sains tulen tidak belajar matematik. Apakah nilai sains tulen itu dalam konteks syarat pengajian di universiti? Pasti peluang untuk mereka memohon ke universiti sangat terhad.

Bila sudah dikelompokkan pelajar mengikut mata pelajaran, sekurang-kurangnya mereka ada rasa terpaksa untuk belajar subjek tertentu agar selari syarat am dan khusus pengajian di universiti.

Apakah kekangan yang cikgu jangka akan menyukarkan implementasi cadangan pemansuhan aliran berdasarkan subjek?

Kekangan yang saya jangka akan menyukarkan pemansuhan ini ialah, ketidaksediaan guru, ibu bapa dan pelajar.

Dahulu, sekitar tahun 2012, sewaktu PBS mula dikuatkuasakan di sekolah dan pelajar-pelajar tidak menduduki penilaian bertulis. Apa yang berlaku?

Tahap penguasaan akademik para pelajar semakin merosot (walaupun tiada kajian terperinci, tetapi inilah realiti yang guru-guru hadapi) Kerja sekolah tidak pernah berbuat. Buku tidak dibaca. Kenapa? Bagi pelajar, untuk apa mereka baca buku? Kan tak ada periksa. Kesudahannya, penguasaan ilmu di kalangan pelajar semakin berkurang. Maka bisinglah ibu bapa kenapa anak mereka tak periksa. Macam mana nak menilai anak mereka? Adakah cikgu telus dalam penilaian? Semua itu mengundang rungutan. Berbeza dengan apa yang dilakukan sekarang. Tiada peperiksaan untuk tahun satu hingga tiga. Konsepnya nampak bagus. Banyak penambahbaikan telah berlaku. Cuma, kita tengok sajalah bagaimana hasilnya tiga tahun lagi.

Sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman, apakah nasihat cikgu kepada orang lain mengenai cara menyokong pelajar dalam membuat keputusan mengenai pemilihan subjek dan masa hadapan mereka?

Di Malaysia, penilaian dilakukan secara holistik. Bukan sekadar kecerdasan intelektual dinilai tetapi minat dan kesihatan mental serta fizikal juga diuji.

Setiap pelajar sama ada di sekolah rendah mahupun menengah akan menduduki ujian psikometrik seperti yang telah ditetapkan oleh KPM. Lebih menarik apabila ujian psikometrik ini dijalankan khusus mengikut tahap keperluan pelajar di setiap tingkatan. Malah, ujian ini juga menjadi antara rujukan penting untuk menentukan hala tuju pelajar.

Sebagai contoh, pelajar-pelajar tahun enam akan dinilai dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR). Antara komponen yang terdapat di dalam PPSR ialah, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJKSK), Pentaksiran Psikometrik dan UPSR.

Ramai ibu bapa bertanya, kenapa ada pelajar yang mendapat 3A tetapi masih ditawarkan ke SBP [iaitu sekolah berasrama penuh] mahupun MRSM [iaitu Maktab Rendah Sains MARA]? Jawapannya mudah. Penilaian tahun enam tidak lagi dilihat kepada keputusan UPSR semata tetapi menggabungkan empat elemen ini. Salah satunya ialah psikometrik.

Sama juga dengan pelajar tingkatan 3. Mereka akan menduduki dua ujian psikometrik yang penting iaitu Inventori Minat Kerjaya dan Inventori Kecerdasan Pelbagai. Hasil keputusan ujian psikometrik inilah yang digunakan untuk menentukan pemilihan subjek di peringkat menengah atas. Kolej Vokasional, MRSM, SBP dan sebagainya, masih lagi melihat keputusan ujian psikometrik sebagai pelengkap untuk kemasukan pelajar ke institusi mereka selain daripada keputusan PT3 itu sendiri.

Jika, aliran berdasarkan subjek tidak penting, mengapa sekolah-sekolah yang menjadi idaman pelajar ini masih menjadikan psikometrik sebagai sebahagian daripada mekanisma pemilihan kemasukan ke institusi mereka? Kenapa tidak diambil sahaja mana-mana pelajar yang cemerlang kemudian letakkan sahaja mereka di mana-mana kelas yang pihak sekolah suka?

Semasa keputusan PT3 mahupun SPM diumumkan, unit bimbingan dan kaunseling akan membuka kaunter khas untuk ibu bapa dan pelajar bertanya. Antara soalan yang akan ditanya ialah, “ikut keputusan ini, kelas mana yang anak saya layak masuk?”

Seperti biasa, jawapan kami tetap sama. Selain daripada melihat keputusan PT3 ataupun SPM, kami akan memberi konsultasi berdasarkan keputusan psikometrik mereka. Dari situ kita akan dapat nilai kecenderungan dan minat mereka. Apabila mereka mengikut minat dan kemampuan, peratus untuk drop subject akan berkurangan. Malah pelajar-pelajar juga tidak membuang masa apabila terpaksa menukar aliran semasa di tingkatan 5 nanti.

Nasihat saya, halakanlah anak-anak mengikut minat dan kecenderungan mereka. Elakkan memaksa anak-anak mengikut aliran yang ibu bapa inginkan. Kerana yang ingin belajar adalah anak-anak. Mereka yang akan berhadapan dengan susahnya belajar. Bukan ibu bapa.

Jika mahu paksa juga, boleh. Tapi berikan panduan seluas-luasnya. Tunjukkan jalan ke mana hala tuju mereka selepas SPM. Rasionalkan mereka kenapa mereka perlu ambil jurusan itu. Bukan menggunakan kuasa veto ibu bapa.


Jika anda ditanya soalan di asas, apakah jawapan anda? Kongsi pendapat anda di bawah (nama, e-mel, dan website tidak wajib), mengikut polisi komen kami.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang penyusunan mata pelajaran di sekolah menengah, rujuk post Pengenalan kami, “Bagaimanakah mata pelajaran sepatutnya disusun di sekolah menengah?”. Petikan komen daripada beberapa pembaca lain terdapat dalam post Apa Kata. Untuk membaca komen tambahan, layari Facebook page kami. Minggu depan, kami akan merumuskan perbincangan tentang mata pelajaran ini dalam post Synopsis. Terima kasih!

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s