Borak Pendidikan #1: Pendidikan STEM

Inisiatif Borak Pendidikan ialah siri pembualan secara santai (ala-ala Clubhouse) yang bertujuan untuk memupuk dan memajukan kefahaman tentang isu-isu pendidikan yang relevan. Setiap sesi borak akan merujuk kepada topik yang unik, dan dimudahcarakan oleh seorang ahli Dialog Pendidikan.

Borak Pendidikan #1, yang diadakan pada Sabtu pertama bulan September, adalah mengenai pendidikan STEM di Malaysia. Kami membincangkan soalan-soalan tersebut: apakah peranan STEM dalam pendidikan kanak-kanak dan remaja? Apakah keadaan semasa pendidikan STEM di Malaysia? Wujudkah kekurangan atau perdebatan tentang bagaimana pendidikan STEM dikonsepsikan, atau dipraktikkan? Kalau ya, apakah tindakan yang sewajarnya?

Para pembahas untuk sesi ini, mengikut susunan abjad:

  • Aizuddin Mohamed Anuar, seorang calon PhD Pendidikan yang membuat kajian tentang aspirasi remaja luar bandar Malaysia—berkaitan dengan konsep ‘pembangunan’ dan pendidikan STEM
  • Hwa Shi-Hsia, seorang pakar biologi penyakit berjangkit, yang membuat kajian tentang TB dan koronavirus
  • Kaif, yang sedang berusaha untuk mencapai ijazah kedoktoran dalam matematik tulen (pure mathematics), dan mempunyai minat dalam falsafah pendidikan
  • Ellen Wong, seorang guru Sains yang mempunyai 13 tahun pengalaman mengajar, dan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Sains dan guru Kimia di peringkat A-Level di sebuah sekolah antarabangsa
  • Soffea, seorang guru sekolah rendah dan juga penyelaras program STEM, bertugas menyusun projek STEM (Pembelajaran Berdasarkan Project)
  • Suzieleez, seorang bekas guru sekolah yang berkhidmat sebagai pensyarah pendidikan matematik di sebuah universiti tempatan
  • Wen Yao, seorang jurutera aeronautik bertauliah dan bekas pereka bentuk enjin jet pesawat.

Berikut adalah rumusan hujah-hujah utama sesi Borak Pendidikan ini, dengan petikan langsung daripada pembahas-pembahas tersebut. Setiap petikan yang berikut telah diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris. 

Tema 1: Apakah peranan pendidikan STEM dalam rangka pendidikan kanak-kanak dan remaja?

Pendidikan STEM melengkapkan kita supaya mampu memahami kerumitan dunia sekeliling.

Suzieleez

Bagi saya, kita memang hidup dalam dunia yang berasaskan matematik dan sains. Jadi pendidikan STEM ini penting bukan kerana isi atau content yang dipelajari semata-mata, tetapi content dan badan-badan ilmu yang dipelajari itu dapat membantu kefahaman kita tentang dunia dan alam ini. Jadi untuk saya pendidikan STEM mestilah dipandang sebagai sesuatu yang bermakna dan signifikan kepada murid-murid. STEM bukan sebuah subjek. Ianya satu pendekatan, di mana seseorang mengambil perspektif terhadap ilmu pengetahuan yang dimiliki dan bagaimana ia harus disepadukan, lalu membantu sifat kefahaman terhadap dunia yang kita huni ini. …

Shi-Hsia 

Saya rasa pandemik ini telah membuat saya lebih menghayati betapa penting wujudnya satu asas pendidikan STEM yang baik untuk semua. Sebagai seorang ahli biologi, semasa di atas talian (misalnya Whatsapp, Twitter, Facebook dan lain lain), kami memang dihujani soalan kerana orang biasa memang sangat terdesak mencari sumber informasi yang mudah difaham dan boleh dipercayai. Tidak kira betapa besarnya usaha para pentadbir dalam hal komunikasi ini, rata-rata saya rasa orang masih ingin mendapat pandangan yang langsung daripada seorang ahli sains, mereka ingin mendapat penjelasan yang tidak ditapis pihak lain dan sebagainya. …

Pendidikan STEM dapat membina kesedaran bahawa subjek-subjek di bawah payung STEM tidak berdiri sendiri, tetapi adalah bersepadu. Lebih-lebih lagi, STEM juga tidak berdiri sendiri, tetapi mesti dilengkapkan dengan subjek-subjek kemanusiaan (humanities)

Kaif

Bagi saya STEM itu ialah sebahagian “program pendidikan” seorang individu, di mana peranan terpenting pendidikan adalah untuk memupuk  daya bertindak (sense of agency) dalam kalangan murid-murid. Misalnya dengan STEM kita tidak perlu takut menghadap cabaran-cabaran di dunia ini; malah, kita akan bersemangat untuk melakukan perubahan. 

Jadi sebahagian program pendidikan ini untuk memupuk daya bertindak adalah dengan subjek kemanusiaan, di mana kita mempelajari isu-isu dunia yang paling rumit, yang berkaitan dengan manusia dan struktur sosial seperti bidang ekonomi, emosi, psikologi dan lain-lain. Kita harus diajar untuk menghayati kerumitan (complexity) sesetengah isu, yakni isu yang perlu didekati dengan cara yang bukan reduktif (non-reductive way). 

Namun begitu, memang ada segolongan persoalan yang patut didekati dengan kaedah reduktif, lazimnya masalah yang mempunyai sifat material, di mana ia harus difahami mengikut prinsip-prinsip dasar (first principles). Inilah di mana STEM digunakan. Dalam sains, memang ada banyak prinsip ringkas yang mampu menjelaskan banyak kejadian alam. Jadi kedua-duanya amat penting. …

Aizuddin

Apabila STEM dibincangkan dalam penulisan penyelidikan pendidikan, ianya berbeza daripada sains dan matematik semata-matanya kerana integrasi badan-badan ilmu tersebut yang diaplikasikan terhadap real world problems… jadi saya fikir STEM ini penting kerana ianya mengingatkan kita bahawa meskipun ramai orang mempelajari disiplin-disiplin yang khusus dengan norma dan tradisi ilmu (traditions of knowledge) masing-masing, dunia yang sebenar tidak semestinya beroperasi mengikuti sempadan disiplin-disiplin tersebut. 

Meskipun kita harus membangunkan kepakaran disiplin, ianya juga penting untuk orang muda berfikir secara luas untuk mengatasi masalah rumit, melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut pandangan dan menggunakan pendekatan yang lebih luas ini untuk membawa penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi. Ambil contoh isu-isu yang kita hadapi dewasa ini, seperti isu pandemik, perubahan iklim—mereka memerlukan penyelesaian yang bersepadu. …

Satu fungsi kritikal pendidikan STEM ialah pemupukan kemahiran menyelesaikan masalah (problem-solving), tetapi ada juga sesetengah pendekatan STEM yang mampu melemahkan kemahiran tersebut. 

Kaif

Seperti yang Ellen dan Wen Yao katakan tadi, mengenai penyelesaian masalah dalam konteks, atau mengikuti situasi, saya ingin memberikan nama kepada fenomena ini: saya syorkan terma ‘functional intuition’ (carafikir). Kita dapat lihat fenomena ini dalam bidang matematik, di mana kita memerlukan carafikir yang betul untuk mengenalpasti bagaimana menggabungkan fakta-fakta dengan sesuai. Dalam bidang matematik, ianya langsung tidak memadai untuk menghafal sahaja, sebaliknya kita mesti faham kaedah yang berpatutan dan kenalpasti situasi atau soalan apa yang memerlukan kaedah tersebut. Saya fikir ini juga adalah tujuan pendidikan sains, di mana orang muda dapat memupuk kemahiran ini. 

Wen Yao

Saya ingin menambah satu pandangan yang praktikal dari sudut pandang seseorang yang bekerja dalam STEM. Kita ambil satu contoh bagaimana masalah industri akan dirangka:

Dalam pengalaman saya, ianya seperti sebuah syarikat kapal terbang seperti Airbus berkata, “Hei, saya nak sebuah enjin yang memberikan 84,000 paun tujahan pada paras laut. Kapal ini perlu terbang dengan kelajuan 0.95 kelajuan bunyi. Dan saya inginkan ianya berbuat begitu menggunakan sejumlah bahan api yang spesifik, dan enjin ini harus mempunyai kos yang tidak melebihi sejumlah dolar.” 

Jadi inilah contoh tugas dan kriteria yang dihulurkan di dalam industri. Mereka takkan suruh kamu gunakan hukum Newton ketiga ke apa. Mereka anggap bahawa kamu akan fikirkan sendiri. Dan skala tugas seperti ini memang amat besar. Kalau sesiapapun fikir bahawa mereka akan dapat “jawapan yang betul” dengan percubaan kali pertama, dia memang salah sekali. Barangkali kamu akan gagal beratus-ratus kali sebelum akhirnya mendapat keputusan yang memuaskan. 

Jadi saya rasa masalahnya ialah persepsi kita terhadap “kegagalan”. Ini berkenaan dengan struktur peperiksaan. Sistem peperiksaan yang saya lalui telah memupuk rasa yang amat takut dengan “kegagalan”. Jadi supaya saya tidak “gagal”, saya pun tidak mahu cuba benda yang rumit di mana kemungkinan besar saya akan “gagal”. Jelas bahawa kita rata-rata memang macam ini, tetapi corak atau tabiat pemikiran macam ini adalah sangat menghadkan jika kita ingin mencari solusi, dan kita tidak rela untuk mencuba kaedah-kaedah yang berbeza, kerana rasa ketakutan itu. Dalam situasi tersebut, ianya amat sukar untuk menyelesaikan tugas yang dihulurkan Airbus untuk menyampaikan enjin itu, kalau kita tidak sudi meneroka dan menggunakan semua kemahiran yang sudah dipelajari, semua bidang yang kita kenali, untuk mewujudkan satu solusi yang diinginkan pelanggan. …

Tema 2: Bagaimanakah keadaan Pendidikan STEM di Malaysia? 

Pendidikan STEM di Malaysia sering menyediakan asas pengetahuan kandungan (content knowledge) yang kukuh dalam sains dan matematik. 

Suzieleez

Selepas mendengar pandangan dari semua di sini, saya ada dua hujah tambahan. Hujah pertama ialah di mana nilai pendidikan STEM itu adalah dari segi menghayati kandungannya sendiri. Meskipun dari mengenali sesetengah fakta kita tidak pasti dapat menyelesaikan masalah di dunia ini, namun ianya tetap ada keindahan tersendiri. Hujah kedua ialah mengambil STEM sebagai kanta untuk memahami kerumitan dunia dan alam semesta. Saya suka pernyataan yang dikemukan oleh para pembahas di sini, di mana kita tidak semestinya mengharungi pendidikan STEM dengan matlamat menjadi ahli sains, matematik dan sebagainya—malah pendidikan STEM  bertujuan untuk membina ilmu dan kefahaman tentang dunia di sekitar kita. Saya suka hujah ini dan saya ingin menyampaikannya kepada murid-murid saya. …

Ellen

Sebelum melihat kekurangan sistem di Malaysia, saya ingin memuji ciri-cirinya yang tertentu dahulu. Dari segi apa yang dibuat dengan baik, saya rasa kita amat mahir dalam content retrieval (mengimbas kembali isi kandungan subjek). Untuk pelajar Sains, kami dilatih untuk menghafal, menyerap maklumat, ibarat hard disk yang mampu muat turun segala-galanya untuk diluahkan keluar nanti. Ini tidak semestinya sesuatu yang buruk—dari segi pedagogi atau psikologi pembelajaran, kerana memang ada benda yang kita kena hafal. Jadi content retrieval adalah sangat kuat dalam pelajar sains. Dan oleh sebab ini juga, kami juga ada daya tahan yang bagus, kerana kami tahu ia mengambil disiplin, memerlukan pengurusan masa yang efisien dan sebagainya… dan kerana ini kami memupuk satu corak pemikiran di mana “What doesn’t kill you makes you stronger” (kita mampu menjadi lebih kuat akibat kesusahan). Ianya seperti seseorang yang, akibat melalui aliran sains, percaya dia boleh mencapai apa-apa sahaja. Ia meningkatkan keyakinan. …

Di sekolah-sekolah Malaysia, mata-mata pelajaran STEM seringkali diajar dengan cara yang cenderung kepada peperiksaan dan keseragaman (examination and standardisation)—dan ini mampu memberi kesan kepada kreativiti dan semangat pembelajaran murid-murid.

Soffea

Dulu, semasa saya bersekolah di UK selama lima tahun, dari Tahun 3 sampai Tahun 8, saya amat meminati sains. Sayalah budak yang membaca ensiklopedia sebelum tidur masa itu. Jadi masa itu saya begitu yakin saya nak jadi seorang saintis. Senang sekali dapat markah tinggi ujian sains masa tu. Tapi selepas kembali ke Malaysia, saya perasan betapa bezanya sains diajar di sini, dan minat saya sebagai seorang murid sains jatuh merudum—tidak lagi bersemangat seperti dulu. Bukanlah Malaysia begitu teruk sebenarnya, tetapi perbezaan itu ketara… kebetulan saya membuat eksperimen makanan yang sama di UK dan Malaysia. Di UK, kami betul-betul bawa makanan dari rumah ke sekolah untuk membuat kajian: kenapakah ini protein, ini lemak dan sebagainya. Di Malaysia pula, cara yang kita baut eksperimen makanan adalah dengan campuran kimia sahaja. Kita campurkan larutan kanji dengan iodin—begitu ringkas sahaja. Kita tiada landasan untuk menyoal dan menjelajah, kenapa pula makanan ni begini dan makanan itu adalah dari kumpulan itu. Jadi saya pun rasa bosan! …

Ellen

Dalam dua tahun pertama saya sebagai guru sains, saya ada rasa agak terhad dalam pengajaran sains, dan saya berhasrat untuk tukar kepada pengajaran bahasa yang pada pendapat saya, dapat memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan pelan pembelajaran yang lebih kreatif dan tidak terhad kepada semata-mata untuk memenuhi sukatan pelajaran. Saya, seperti ramai orang, adalah produk sistem yang diajar “pakai suap” sahaja. Jadi pada masa itu saya rasa amat terhad dalam pengajaran subjek: mesti siapkan silibus, sediakan murid-murid untuk peperiksaan, tanpa ruang untuk menggunakan kreativiti dan betul-betul mengajar dengan cara yang memupuk rasa minat. Persepsi saya pada masa itu ialah subjek ini bersifat didaktik sahaja.

Namun setelah saya mula mengajar silibus antarabangsan berdasarkan kurikulum British, saya boleh ulangkan poin yang diucapkan oleh Soffea tadi, di mana dia mengalami satu culture shock (kejutan budaya) selepas pindah dari pengajaran sains di UK ke Malaysia. Saya tertarik dengan cara Cambridge Assessment (Lembaga Peperiksaan Cambridge) menggubal pelbagai aktiviti menarik untuk digunakan dalam pembelajaran bilik darjah. Itulah proses yang membantu saya tersedar bahawa, hey, kita pun boleh kreatif dalam mengajar STEM. Kita mampu engage murid-murid, berfikir di luar kotak. …

Apabila orang muda diberikan peluang untuk mengatasi masalah dalam kelas STEM secara “hands-on” (praktikal), mereka mampu bangkit menghadapi cabaran. 

Wen Yao

Pengalaman pembelajaran STEM yang paling signifikan yang saya ingati adalah pengalaman mengambil bahagian dalam pertandingan roket air semasa di Tingkatan 4. Ia memang membawa kesedaran tentang betapa real-nya apa yang saya belajar dalam kelas pada masa itu. Saya masih ingat kita kena cari tahu bagaimana membina roket dengan dua kriteria: yang terbang dengan jarak yang paling jauh dan yang mampu berada di udara untuk masa yang paling lama. Kami terpaksa menggunakan semua yang kita belajar dari kelas, dan anggarkan reka bentuk yang sebaik mungkin. …

Aizuddin

Satu pengalaman STEM yang bermakna untuk saya adalah sebahagian kajian PhD saya, di mana saya berada di sebuah sekolah menengah di Pantai Timur. Di sekolah itu, kami melaksanakan satu projek STEM untuk mengatasi sesebuah masalah yang berkaitan dengan soal pembangunan dalam komuniti mereka. Pengalaman ini amat menarik kerana murid-murid cuba membuat sesuatu yang berbeza daripada yang biasanya dibuat di sekolah. Jadi akhirnya kami menjalankan satu projek kitar semula, sebab walaupun mereka adalah komuniti luar bandar, mereka lihat dan sedar bahawa pencemaran plastik di komuniti itu makin bertambah. Jadi kami bincang masalah itu, memikirkan penyelesaian yang berpotensi dan melaksanakan teknik-teknik yang tertentu untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan STEM di universiti tempatan. Pengalaman seperti ini mengingatkan saya betapa lebarnya pendidikan, bukan peperiksaan atau mengejar silibus semata-matanya yang sering menjadi fokus dan permasalahan dalam perbincangan tentang sistem pendidikan. …

Kita perlu memikirkan semula definisi kejayaan dalam pendidikan STEM, dari segi dasar pendidikan mahupun bagi murid-murid secara individu.

Soffea

Mengenai kriteria rasmi yang digunakan untuk mengukur “budaya STEM” di sekolah, pada pendapat saya agak cetek dan tidak betul-betul menggambarkan realiti yang diinginkan. Semuanya pada permukaan sahaja dan saya tidak lihat bagaimana ia benar-benar menolong murid. Misalnya mereka nak lihat papan iklan tentang STEM, nak lihat ada “sudut STEM” di setiap bilik darjah. Kurang pemberatan terhadap apa yang murid betul-betul buat; lebih kepada struktur fizikal sekolah yang menjadi fokus. Mereka nak tahu berapa buah buku STEM yang ada dalam rak buku perpustakaan, bukan berapa murid yang membaca buku-buku tu. Saya tak berapa pasti bagaimana ini membantu murid-murid lebih cenderung kepada STEM. Saya rasa banyak pun sekolah yang menghadapi cabaran ini. …

Shi-Hsia

Merujuk kepada apa yang Ms Ellen kata tadi tentang kurikulum yang berorientasikan peperiksaan, saya rasa orientasi ini mewujudkan satu titik buta dalam satu bahagian yang amat penting bagi orang yang benar-benar bekerja dalam STEM, iaitu soalan mengenai manakah jurang pengetahuan kami, apakah yang kita semua tak tahu, dan akhirnya juga kebebasan untuk membuat kesilapan. 

Dalam sistem pendidikan kita, kesilapan ialah sesuatu yang memalukan. Kamu akan didenda, disuruh buat pembetulan, dimarah cikgu di hadapan kelas. Kalau kamu kata, “Saya tak tahu,” sebagai jawapan kepada soalan, pembalasannya ialah, “Kenapa tak tahu? Kenapa tak baca buku teks?” dan sebagainya. Ini memberikan persepsi yang salah di mana kononnya di luar sana, tak kira dalam buku atau seorang pakar, di luar sana tentu ada seseorang yang tahu segala jawapan. Tidak semestinya. 

Dan lebih-lebih lagi, ia menggambarkan bahawa ada satu sumber ilmu yang statik dan tidak berubah… ini berhubung dengan apa yang Kaif kata tadi mengenai logik. Kalau tak silap saya, salah satu konsep penting dalam logik dan game theory (teori permainan) adalah persoalan tentang bagaimana kamu tahu sesuatu, dan bagaimana kamu tahu jika orang lain tahu sesuatu. Dan konsep ini amat ketara dan mempunyai implikasi berat dalam kehidupan, berkaitan dengan isu-isu seperti khabar palsu (fake news), penggubalan dasar, dan banyak lagi yang isu sosial yang penting. 

Jadi pendidikan STEM perlu dimodenisasikan dan ditambah baik. Pendidikan seharusnya tidak menghukum murid-murid kerana membuat kesilapan atau “salah jawapan”, seolah-olah kesilapan-kesilapan tersebut ada unsur moral atau anti-sosial. Semestinya tidak. Dan juga poin saya tadi tentang menolong murid-murid untuk mengaitkan semua pembelajaran mereka di dalam satu skema yang lebih menyeluruh dan bersepadu, dengan kesedaran tentang di manalah jurang-jurang pengetahuan kita. … 

Penutup daripada kami di Dialog Pendidikan

Kami amat menghargai sumbangan semua para pembahas yang sarat dengan isi mengikuti perspektif-perspektif mereka sebagai pendidik dan pakar dalam bidang masing-masing. Kami juga amat optimistik kerana sesi ini membuktikan bahawa adanya kepakaran dan kebolehan dalam sistem pendidikan kami (bukan sahaja pembahas-pembahas yang dijemput tetapi ramai lagi) untuk menangani cabaran-cabaran praktikal dalam pendidikan STEM dan pembangunan negara.

Sebagai penutup perbualan kami, kami sebagai penganjur menghulurkan dua provokasi (cabaran untuk merangsangkan perbincangan yang seterusnya) kepada para pembahas. Kami ingin juga menghulurkan provokasi yang sama kepada anda, pembaca yang dihormati:

Kami gelarkan provokasi pertama ini sebagai masalah penyeragaman

Satu tema tersirat dalam perbincangan kami adalah bayang panjang kemodenan (modernity) yang menyelaputi sejarah pendidikan STEM di Malaysia. Satu implikasi kemodenan ini ialah tanggapan bahawa penyeragaman adalah kaedah yang terbaik dalam pentadbiran sebuah negara: pendekatan “top-down” yang birokratik ini lebih-lebih lagi bertemu dengan tradisi atau budaya kita yang lebih cenderung kepada tatatingkat, untuk menghasilkan gabungan yang kita lihat pada hari ini. 

Kami berpendapat bahawa penyeragaman adalah penting dari sudut pandang kesaksamaan, kerana ianya menubuhkan satu garis dasar yang dapat dinikmati semua. Meskipun begitu, ada juga yang berpendapat bahawa sistem pendidikan Malaysia sudah terlalu diseragamkan, di mana keseragaman itu menjadi tujuan akhir, dan mengehadkan para pendidik daripada mencari penyelesaian atau kaedah yang paling sesuai mengikut situasi dan konteks. Lebih-lebih lagi, penyeragaman seringkali diukur melalui data yang sempit (narrow indicators) yang tidak selalunya mencerminkan intipati kualiti yang diinginkan. Ada juga pandangan bahawa data yang reduktif mampu dimanipulasi dan memberikan kesan kepada tingkah laku (rujuk konsep Hukum Campbell).  

Provokasi yang kedua ialah masalah tatatingkat nilai

Mengikut pandangan kami, kedudukan istimewa STEM berbanding dengan bidang-bidang lain kadangkala akan mengeruhkan pilihan hidup sesetengah orang—contohnya pelajar yang mendapat markah tinggi di sekolah yang sebenarnya lebih minat kepada bidang kemanusiaan, sastera atau lain-lain tetapi rasa tertekan untuk memilih aliran STEM sepanjang pendidikan… tetapi akhirnya memilih kerjaya bukan STEM selepas habis persekolahan. 

Kami percaya hirarki STEM ini secara tidak langsung adalah kurang baik untuk bidang STEM sendiri jika kita rujuk kepada perspektif yang lebih menyeluruh. Seperti yang dikatakan para pembahas, STEM bermanfaat dari keharmonian antara disiplin-disiplin lain seperti kemanusiaan, sastera dan sains sosial. 

Kami akhiri rumusan ini dengan dua persoalan untuk para pembaca:

  1. Bagaimanakah dapat kita selesaikan isu penyeragaman ini di samping mengekalkan garis dasar kesaksamaan dalam pendidikan untuk semua?
  2. Bagaimanakah boleh kita uar-uarkan serta majukan STEM di Malaysia di samping membina akhlak individu yang menghayati ilmu pengetahuan secara menyeluruh dan holistik?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.